loading...
Walaupun Munafik meraih kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman negara, penerbitnya tidak berani menyediakan bajet lebih besar untuk sekuel filem seram ini.
Yusof Haslam trauma filem bocor, bajet ‘Munafik 2’ hanya RM2.5 juta
Bagi penerbitnya Datuk Yusof Haslam, memadai jika Munafik 2 sekadar menerima bajet RM2.5 juta selepas Skop Productions masih trauma dengan kebocoran filem KL Gangster 2.
“Filem pertama (Munafik) kita beri hampir RM2 juta termasuk promosi. Kali ini akan lebih lagi bergantung kepada kehendak cerita.
“Saya rasa dalam lingkungan RM2.5 juta memadai. Seperti KL Gangster 2, kami belanja RM4 juta tetapi bocor (di Internet). Sedangkan filem pertama itu kami belanja RM2.5 juta sahaja.
“Filem seperti Munafik dalam lingkungan RM2.5 juta sudah cukup baik,” katanya kepada ProjekMMO.
Munafik yang ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei berjaya memecah rekod, mengaut kutipan tertinggi RM19 juta selepas 49 hari ditayangkan.
Filem arahan anaknya Syamsul Yusof itu berjaya menewaskan kutipan BoBoi Boy: The Movie (RM17.48 juta), Polis Evo (RM17.47 juta) dan The Journey (RM17.17 juta).
Munafik mengubati kekecewaan Syamsul selepas filem KL Gangster 2 arahannya bocor di internet sebelum hari tayangan.
Filem bertema samseng itu hanya mampu mengutip RM4.96 juta sedangkan filem pertamanya dapat mengutip RM11.74 juta walau hanya bermodalkan RM2.5 juta.
Dihubungi ProjekMMO kelmarin, Yusof berkata Munafik 2 bakal menjalani penggambaran selepas Aidilfitri, pada Julai nanti, dan skripnya masih dalam bayangan Syamsul.
“Itu masih dalam kepala Syamsul. Sekarang dia sibuk dengan ceramah di masjid. Dia cuba nak dekatkan diri dengan agama.
“Saya dengar kemungkinan besar selepas Raya mula penggambaran. Filem kedua itu nanti akan lebih berhati-hati kerana filem pertama sudah berjaya dan yang kedua, dia akan buat sesuatu lebih lagi,” katanya.
Yusof, 62, percaya kekuatan Munafik pada elemen keagamaan yang cuba diterapkan Syamsul.
Tambahnya, penonton kini sudah beralih kepada elemen keagamaan berbanding genre yang pernah ditonjolkan sebelum ini.
“Kekuatannya elemen Islamik kerana orang sekarang sudah berbalik kepada agama. Mereka suka mesej agama, tidak bersentuh lelaki perempuan,” katanya.
from cerita sensasi terkini http://ift.tt/1Wib1LV
via IFTTT
loading...
0 Response to "Yusof Haslam trauma, sediakan bajet Munafik 2 hanya RM2.5 juta"
Post a Comment